Isu kualiti bangunan, harga dan nisbah lot untuk Bumiputera dan bukan Bumiputera merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian segera bagi memastikan pembangunan seimbang untuk rakyat Kedah, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan perkembangan senario pembangunan hartanah di negeri itu setakat ini.

"Kita sedar bahawa permintaan perumahan di Kedah adalah lebih tinggi berbanding negeri lain berikutan sebahagian besar rakyatnya masih dalam kategori berpendapatan rendah," ujar Mukhriz.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian pembiayaan antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dengan Malayan Banking Berhad (Maybank) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad di ibu negara.

"Saya percaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta melalui kerjasama dengan pembangun hartanah dan perbandaran. Seiringan itu, manfaatnya akan melimpah ke sektor pelancongan dan pembinaan,” ujar beliau.

Kedah menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 unit rumah bagi kesemua kumpulan pendapatan menjelang tahun 2018.

Menurut beliau, projek-projek perumahan itu akan memberi manfaat kepada rakyat Kedah terutamanya apabila usaha telah dimulakan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik.

Tambah Mukriz, setakat ini sebanyak 28,081 unit rumah telah diluluskan dan sedang melalui pelbagai peringkat pembinaan di Kedah dan kerajaan negeri akan terus menyokong golongan profesional berkemahiran untuk memacu sektor pembangunan hartanah melalui inovasi produk serta perkhidmatan.