KUALA LUMPUR: Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur menyuarakan rasa kesal dengan berita mengenai kira-kira 380 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut kenyataan yang disediakan kepada Bernama hari ini, kedutaan menegaskan pihaknya tiada kaitan dengan insiden itu.

"Kedutaan kesal dengan apa yang berlaku kepada beberapa warga Malaysia yang ditipu agensi pelancongan Malaysia yang mendakwa telah mendapatkan visa daripada kedutaan. Pihak kedutaan menegaskan ia tidak ada kena mengena dengan insiden ini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut merujuk kepada kenyataan sebelum ini yang dikeluarkan pada 24 Mac, pihak kedutaan mendapati terdapat iklan oleh beberapa syarikat Malaysia yang mempromosikan pakej pelancongan dan program menunaikan haji tahun ini.

BACA: Jemaah haji terkandas: 'Jutaan maaf, kami sudah cuba sedaya upaya terbangkan jemaah' - Agensi pelancongan

BACA: Jemaah haji terkandas: 'Saya kecewa, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan' - Menteri

"Kenyataan itu memberi amaran dan menegaskan bahawa kedutaan tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak di Malaysia dari segi pengaturan haji tahun ini 1443H/2022," kenyataan itu.

Memandangkan ibadat haji dianggap ibadah paling penting dalam Islam, Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bersedia untuk menyediakan semua kemudahan yang membolehkan jemaah haji menunaikan haji dengan mudah dan selamat.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA semalam (7 Julai) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad daam satu kenyataan hari ini, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci.

"Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

-- BERNAMA