KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan sedang berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana Mat Nanyan, 35, yang berada di unit rawatan rapi Hospital Myongji, Korea Selatan akibat kesukaran bernafas.

Menurut catatan di laman Facebook rasmi Kementerian Luar (Wisma Putra) yang merujuk kepada laporan Harian Metro bertajuk "Bantu kami bawa pulang Rozanna" bertarikh 10 Oktober 2021, kementerian akan terus memantau keadaan Rozzana.

Kementerian menerusi pegawai kedutaan di situ telah berusaha melawat beliau di hospital berkenaan namun tidak dibenarkan memandangkan penularan COVID-19.

Rozzana kini tidak sedarkan diri kerana diintubasi (ditidurkan) bagi mengelakkan serangan sawan.

Menurut akhbar itu, keluarganya ingin membawa beliau pulang untuk dirawat di Malaysia dan khuatir dengan bil rawatan yang terus meningkat.

Rozzana yang berada di negara itu sejak empat tahun lepas, bekerja sebagai operator di sebuah kilang penerbitan kalendar di Incheon, Seoul.

 
Sumber Facebook MOFAMalaysia

-- BERNAMA