KUALA LUMPUR: Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur dengan kerjasama Agensi Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa Turkiye (TIKA) pada Isnin menganjurkan majlis berbuka puasa untuk pasukan penyelamat Malaysia yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat pasca gempa bumi (SAR) di Turkiye.

Majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini dihadiri lebih 160 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pasukan Operasi Starlight II.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Hal Ehwal Sarawak dan Fungsi Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel melahirkan rasa berterima kasih kepada Malaysia dan rakyatnya yang bersolidariti dengan Turkiye, mendoakan rakyatnya dan menderma.

"Bencana yang dahsyat ini membuktikan bahawa Turkiye mempunyai sahabat seperti Malaysia yang segera menggerakkan bantuan meski dari beribu batu jauhnya," katanya.

Malaysia adalah antara negara terawal membantu Turkiye dalam usaha SAR selepas dua gempa bumi yang melanda pada 6 Feb, mengorbankan lebih 50,000 orang seterusnya mendorong perpaduan antarabangsa.

Gempa berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter melanda 11 wilayah - Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Elazig, Hatay, Gaziantep, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye, dan Sanliurfa.

Kira-kira 14 juta orang di Turkiye terjejas akibat bencana alam itu serta ramai lagi di utara Syria.

-- BERNAMA