Hasil perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar yang dirangka teliti, kerajaan telah berjaya mengeluarkan masyarakat nelayan daripada perangkap kemiskinan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Namun, ujar Perdana Menteri, ia sama sekali tidak bermakna usaha kerajaan akan terhenti di situ.

Sebaliknya, katanya, lebih banyak lagi dapat dilakukan sekiranya golongan itu terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Kita (kerajaan BN) telah dapat memisahkan keadaan masyarakat nelayan daripada dalam perangkap kemiskinan selama ini, yang mana dapat kita keluarkan, dapat kita bawa mereka, menjadi sebagai anggota masyarakat yang penuh dan sarat dengan masa depan jauh lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Masyarakat Nelayan Muara Pahang, di sini, hari ini.

Memetik Kampung Kuala Pahang sebagai contoh, pada waktu dulu, katanya, kampung itu dipenuhi rumah-rumah yang dilihat daif dan usang, di samping pendapatan penduduk setempat yang boleh disamakan dengan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Namun, kata Pengerusi BN itu, perkampungan nelayan tersebut sudah menyaksikan transformasi yang pesat, di mana banyak rumah yang daif diganti dengan rumah batu.

Melalui peruntukan RM2 juta yang diselia Universiti Malaysia Pahang (UMP) pula, kini wujud pusat perniagaan dan medan ikan bakar untuk para nelayan memasarkan hasil tangkapan mereka secara komersil, tambahnya.

Di samping itu, kata Najib, sudah banyak rumah di perkampungan itu menggunakan tenaga solar sebagai sumber bekalan elektrik, sekali gus mengurangkan lagi perbelanjaan bulanan mereka.

“Ini satu daripada unsur yang begitu menarik sekali, dan inilah menunjukkan kampung nelayan tradisional tidak terkecuali, dan dapat kita masukkan dalam arus pembangunan negara,” katanya lagi.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, memastikan kos sara hidup nelayan dapat dikurangkan melalui elaun sara hidup RM300 sebulan, serta bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya.

“Cita-cita saya supaya masyarakat nelayan janganlah dipandang hina oleh sesiapa, dan jangan diherdik mereka ini kerana mereka dapat bantuan, kerana ini sebahagian kewajiban kita sebagai kerajaan untuk membantu mereka,” kata Presiden UMNO itu.

Dalam ucapannya, Najib berkata, beliau akan menambahkan lagi jumlah peruntukan kepada dana yang diselia UMP agar lebih banyak rumah di perkampungan nelayan dapat dibina semula.

Selain itu, beliau juga akan meluluskan sejumlah peruntukan bagi projek perumahan rumah baru khusus untuk nelayan di kawasan itu.