PUTRAJAYA: Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia bukan berpunca daripada negara mempunyai seorang Menteri Kewangan yang tidak bekerja sepenuh masa.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara faktor penyebabnya ialah berkaitan dasar, terutamanya dasar Amerika Syarikat dan kekangan antarabangsa.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman sebelum ini berkaitan isu tersebut.

"Itu saya pun dengar…

"Masalahnya dasar. Masalah juga kekangan daripada antarabangsa.

"Jadi orang yang cadang itu…suruh dia baca laporan ekonomi antarabangsa…bukan laporan Pas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Awam Malaysia Madani Dalur di Putrajaya pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok pada Rabu berkata, dalam tempoh enam bulan ini, ringgit telah menyusut berbanding dolar AS dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60/dolar AS, dijangka boleh mencecah paras RM5.00/dolar AS jika tidak dikawal.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan berharap tekanan terhadap ringgit akan berkurangan sebaik sahaja isu siling hutang AS diselesaikan segera.