KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menceburi industri getah bernilai tinggi susulan kejayaan hasil ciptaan anak tempatan dalam menghasilkan kombinasi ekstrak graphene dan getah asli untuk kegunaan belon aeroangkasa.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan dengan kerjasama sebuah universiti terkemuka di dunia itu, dapat meningkatkan nilai eksport produk getah negara di pasaran.

"Terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu telah berjaya dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.

"Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang
pertama seumpamanya di dunia.

"Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara," jelasnya.

Ujarnya lagi, sehingga kini Malaysia masih dikenali sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah berkualiti tinggi.

Selain produk getah, Malaysia juga jelas Perdana Menteri terkenal dengan produk kayu yang diiktiraf dunia.

Lebih membanggakan, apabila produk kayu Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Malaysia juga perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

"Malah produk kayu bersijil daripada Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Selain itu, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampumenghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan MiACES 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.

Turut menyaksikan perasmian, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin

Berlangsung selama tiga hari, MiACES 2022 bakal menampilkan penglibatan inovator, pelabur dan pengeluar hasil agrikomoditi dari 39 buah negara.