Kejohanan Dunia: Gandingan China sekat kemaraan Pearly-Thinaah

Bernama
Ogos 25, 2023 15:54 MYT
Semalam, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi mengagumkan ketika mengejutkan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-14, 22-20 pada pusingan ketiga untuk mara ke suku akhir. - Gambar fail/FB BAM
KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejutan menumbangkan pilihan keempat, perjalanan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark berakhir selepas tersingkir di pusingan suku akhir, malam ini.
Pada aksi di Royal Arena, gandingan negara di ranking dunia ke-11 itu ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan China Zhang Shu Xian-Zheng Yu, yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatatkan kemenangan 17-21, 21-17, 21-19 dalam tempoh 76 minit.
Pasangan China itu, akan membuat perhitungan berdepan rakan senegara yang juga pilihan pertama Chen Qingchen-Jia Yi Fan, di pentas separuh akhir.
Semalam, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi mengagumkan ketika mengejutkan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-14, 22-20 pada pusingan ketiga untuk mara ke suku akhir.
Pada masa sama, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas di suku akhir, apabila gagal menyaingi kehebatan pilihan kedua yang juga pemenang pingat perak edisi lalu Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun, selepas tewas 11-21, 11-21.
Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah bersama beregu lelaki utama negara yang juga juara bertahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, merupakan wakil negara yang berjaya mengharungi cabaran layak ke suku akhir.
-- BERNAMA
#beregu lelaki #pingat perak #pilihan pertama #Kejohanan Dunia 2023