PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akan mengumumkan sama ada akan kekal menerajui partinya dan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, buat masa ini beliau belum didakwa dan perkara itu akan dibincang selepas pendakwaan dikenakan.

"Tunggulah, tunggu, saya belum didakwa, selepas itu nanti kita akan buat keputusan dan kita akan umumkan," katanya pada sidang media selepas selesai beri keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini malam ini.

Mengulas mengenai sokongan yang diberikan oleh penyokong-penyokong PN terhadap beliau, Muhyiddin yakin tidak akan berlaku sebarang rusuhan sepertimana era reformasi pada 1998.

"Kami adalah sebuah parti yang aman, kami cintakan negara ini dan kami tidak akan mengikuti jejak yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ketika era reformasi.

"Rakyat sedang berdepan berbagai kesukaran dan ia bukan perkara yang sepatutnya dilakukan buat masa ini.

"Mereka telah memberikan sokongan, saya ucapkan terima kasih, ia bukan tentang Muhyiddin tetapi disebabkan Bersatu dan Perikatan Nasional," katanya lagi.

Sidang media Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis dan dibebaskan selepas lebih 8 jam diambil keterangan.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, bekas perdana menteri itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.