Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus akan memanggil semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) minggu hadapan bagi membincangkan berkenaan fungsi dan kekangan yang dihadapi jawatankuasa-jawatankuasa tersebut.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima maklum balas daripada beberapa pengerusi jawatankuasa yang berdepan masalah dalam menjalankan fungsi mereka.

“Kita mendapat input daripada sebahagian PSC. Mereka kadangkala ada kesukaran mengundang pegawai-pegawai kanan untuk memberi taklimat dan sebagainya… ataupun bahawa kuasa Parlimen itu terlalu terbatas, tak seperti mana dijanjikan.

“Jadi langkah pertama kaukus ialah mengundang semua pengerusi minggu hadapan dan kita bincang masalah mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kaukus tersebut di Parlimen hari ini.

Jelasnya, hasil mesyuarat itu akan dikemukakan kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof supaya masalah yang mendepani jawatankuasa-jawatankuasa tersebut dapat ditangani.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dilihat gagal memainkan fungsinya.

Ia apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa memaklumkan kepada jawatankuasa tersebut termasuk Kabinet.

Selain William, terdapat lima lagi Jawatankuasa Pilihan Khas dibentuk iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender; serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan.