PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar akan berbincang dengan Tabung Haji berhubung isu badal haji.

Beliau berkata, antara inti pati yang akan dibincangkan adalah mengenai bidang kuasa kawal selia ibadah itu.

"Ia terdapat sedikit kekeliruan sama ada ibadah ini di bawah TH atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Media di sini pada Jumaat.

Ujar Mohd Na'im, sekiranya badal haji jelas di bawah bidang kuasa TH, ia menjadi tanggungjawab pihaknya untuk melakukan kawal selia bagi mengelakkan penipuan.

Tambahnya lagi, setakat enam bulan berkhidmat beliau tidak menerima sebarang aduan berkaitan dengan penipuan badal haji.

"Selepas berbincang dengan TH, kenyataan media akan dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai peringatan yang dikeluarkan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) agar rakyat berhati-hati dengan tawaran badal haji yang tumbuh bak cendawan.

Badal haji itu ditawarkan dengan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang. - Sinar Harian