KUCHING: Kekerapan penerbangan mingguan ke Sarawak ditingkatkan daripada 307 kepada 562 penerbangan berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau dalam kenyataan mengatakan keputusan itu telah diluluskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa keempat di negeri ini sejak 3 Januari lalu.

Menurutnya, ia juga diperkukuh dengan permintaan penerbangan tambahan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina daripada orang ramai, jumlah kes positif COVID-19 yang rendah di negeri dan prosedur kuarantin di Kuala Lumpur bagi pelancong antarabangsa yang pergi ke Sarawak melalui Semenanjung, selain mempromosikan industri pelancongan.

“Antara SOP baharu yang ditetapkan oleh JPBN Sarawak untuk menggalakkan kedatangan pelancong ke Sarawak ialah dengan memansuhkan syarat mengisi enterSarawak bagi rakyat Sarawak, rakyat Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang telah lengkap divaksinasi dan telah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari sebelum kemasukan. 

“Bagaimanapun, mereka masih perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan ‘e-Health’ semasa memasuki pintu negeri,” katanya.

Sebelum ini, pengecualian itu hanya terpakai kepada warga Sarawak dan pasangan mereka, selain penjawat awam Persekutuan dan pekerja sektor swasta yang bekerja di Sarawak juga dikecualikan daripada mengisi borang enterSarawak.

Tambah Kim Shin, dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini, JPBN Sarawak juga telah mengarahkan semua syarikat penerbangan untuk menetapkan harga tambang penerbangan biasa dan lebih rendah.

“Syarikat penerbangan juga diingatkan untuk membantu dan memastikan hanya penumpang yang diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan menaiki pesawat mereka. Ini sangat penting untuk memastikan SOP baharu SDMC dipatuhi dengan teliti dan untuk melindungi COVID-19 daripada terus merebak di negeri ini,” tambahnya.

Kekerapan peningkatan penerbangan dari luar Sarawak ke destinasi utama negeri itu termasuklah ke Kuching dari 149 kepada 279 seminggu; Miri dari 61 kepada 127 seminggu; Sibu dari 45 kepada 83 seminggu; dan Bintulu dari 38 kepada 59 seminggu.

Manakala penerbangan ke Limbang dan Mulu masing-masing kekal sebanyak tujuh penerbangan seminggu.