KUALA LUMPUR: Jumlah kelahiran hidup pada 2021 merekodkan penurunan tertinggi dalam satu dekad dengan 439,744 kelahiran berbanding 471,504 kelahiran pada 2020, menurut laporan Perangkaan Penting Malaysia 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Kadar Kelahiran Kasar (CBR) turut merekodkan penurunan daripada 14.5 kelahiran pada 2020 kepada 13.5 kelahiran pada 2021 bagi setiap 1,000 penduduk.

"Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif di Malaysia iaitu 15 hingga 49 tahun mencatatkan penurunan dengan 1.7 bayi pada 2021 berbanding 1.8 bayi pada 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh 2011 hingga 2021, TFR bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia kecuali Melayu menunjukkan trend menurun.

Katanya TFR tertinggi dicatatkan oleh Melayu iaitu 2.2 bayi pada 2021 manakala Cina mencatatkan TFR terendah iaitu 0.8 bayi bagi setiap wanita berusia 15 hingga 49 tahun.

Menurut Mohd Uzair, kematian yang direkodkan pada 2021 meningkat 34.5 peratus iaitu 57,599 kematian berbanding 166,970 kematian pada 2020 akibat pandemik COVID-19 dengan Kadar Kematian Kasar (CDR) turut merekodkan peningkatkan daripada 5.1 kematian pada 2020 kepada 6.9 kematian pada 2021 bagi setiap 1,000 penduduk.

"Semua kumpulan umur merekodkan peningkatan bilangan kematian kecuali umur 0 hingga 14 tahun iaitu menurun daripada 4,288 kematian kepada 4,115 kematian pada 2021," katanya.

Sementara itu, kematian umur 41 hingga 59 tahun merekodkan peningkatkan tertinggi iaitu 44 peratus daripada 36,318 kematian pada 2020 kepada 52,282 kematian pada 2021.

Mohd Uzir berkata kematian 15 hingga 40 tahun dan 60 tahun dan lebih, masing-masing turut merekodkan peningkatan iaitu daripada 13,070 kematian kepada 17,953 kematian dan 113,294 kematian kepada 150,219 kematian.

-- BERNAMA