KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, serta surau dan musala, berkuat kuasa mulai hari ini.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kebenaran pelaksanaan solat berkenaan dalam tempoh Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu bagaimanapun hanya dibenarkan kepada jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.

"Seramai 40 jemaah dibenarkan bagi solat fardu Jumaat di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim bermula hari ini dan had bilangan jemaah yang sama turut dibenarkan bagi pelaksanaan solat fardu lima waktu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala.

"Pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat fardu lima waktu berkenaan turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin.

Tengku Mohamad Rizam berkata penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua sebelum dibenarkan solat di masjid, surau dan musala.

"Masa aktiviti di dalam masjid, surau, musala juga perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu," katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata pengurusan masjid, surau, musala hendaklah membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter selain membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat.

"Tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid selain semua aktiviti-aktiviti lain seperti kuliah, tadarus dan lain-lain adalah tidak dibenarkan," katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ini.

-- BERNAMA