GUA MUSANG: Aktiviti pembalakan di kawasan Hulu Kelantan akan terus berjalan kerana kerajaan negeri bergantung kepada hasilnya, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan nasib penduduk Orang Asli di kawasannya yang terjejas dengan masalah pembalakan sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya, masyarakat Orang Asli di kawasannya menghadapi kesukaran untuk terus hidup disebabkan air sungai yang tercemar dan hasil hutan mereka terjejas akibat aktiviti pembukaan hutan dan penerokaan tanah.

"Kerajaan negeri bergantung kepada hasil jualan balak. Ia akan tebang balak seberapa banyak yang boleh untuk membiayai pentadbiran negeri ini.

"Selagi ada balak, ia tebanglah, kerana punca pendapatan hanya hasil penjualan balak. Selagi ia tak ambil satu tindakan yang boleh pelbagaikan hasil kerajaan negeri, inilah kedudukannya.

"Kerajaan negeri akan menuju kemuflisan kalau ia tak boleh mempelbagaikan pendapatan negeri ini," katanya.

Sebelum ini, lebih 5,000 masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman menyuarakan harapan agar nasib mereka dibela serta usaha memelihara dan memulihara sumber air sungai dapat dilakukan.

Penduduk Orang Asli turut mendakwa aktiviti pembalakan di kawasan pedalaman turut  menjejaskan kehidupan harian komuniti itu serta mengancam masa depan anak cucu mereka.