KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini diberitahu kerajaan negeri pernah meminta kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia dan pihak berkuasa lain untuk menangani pencerobohan hutan simpan di negeri itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata pasukan terbabit telah mengadakan operasi tertentu untuk mengawasi pencerobohan daripada individu yang mengambil peluang menebang hutan secara haram.

"Pernah suatu ketika dahulu, kita (kerajaan negeri) meminta kerjasama daripada pihak tentera dan pihak berkuasa lain untuk menjaga hutan selain melakukan operasi bagi mengelak daripada individu yang hendak menembak binatang liar dan sebagainya," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) berkenaan usaha yang dibuat kerajaan bagi menangani pencerobohan hutan secara haram di negeri ini pada Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri menerusi jawatankuasa kecil perhutanan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera serta risikan terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan.

-- BERNAMA