Kelantan terbuka bincang isu pangkalan haram dengan KDN

Bernama
Mac 8, 2024 08:57 MYT
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu menghapuskan pangkalan haram di sempadan negara di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata apa jua perbincangan dengan kerajaan Persekutuan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya apatah lagi sekiranya untuk kesejahteraan rakyat.
"Kita terbuka untuk bincang lebih-lebih lagi dengan kerajaan Persekutuan, kita tunggu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail datang untuk berbincang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Saifuddin Nasution berkata pihaknya bakal mengadakan pertemuan dengan kerajaan Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan kepada sebarang bentuk penyeludupan.
-- BERNAMA
#kerajaan negeri Kelantan #Mohd Nassuruddin Daud #Kementerian Dalam Negeri #pangkalan haram #Sempadan Negara #Saifuddin Nasution