TUMPAT: Negeri Kelantan menerima peruntukan sejumlah RM6.4 bilion daripada kerajaan Pusat bagi projek kemajuan infrastruktur seperti jalan raya dan kerja-kerja pembinaan bangunan persekutuan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, nilai projek itu merangkumi keseluruhan 54 projek di negeri itu yang dianggarkan sudah mencapai 56 peratus siap.

“RM64 bilion yang diperuntukkan di negeri Kelantan ini adalah merupakan nilai projek dari kerajaan Persekutuan yang merupakan infrastruktur merangkumi jalan raya.

“Ia termasuk bangunan persekutuan yang dilaksanakan melalui Kementerian Kerja Raya untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang merangkumi bangunan seperti hospital, jalan dan komponen paling besar ialah Laluan Kota Bharu-Kuala Krai dan sebahagian juga laluan Central Spine Road (CSR).

“Saya harap dengan komitmen ini, Kelantan akan dapat merapatkan jurang dengan negeri negeri lain khususnya di semenanjung dari segi infrastruktur,” katanya ketika meninjau kerja-kerja naik taraf Jalan Jeli-Kg Reka Luar, Kuala Balah di Dabong, di sini, pada Jumaat.

Bercakap mengenai kemajuan projek, Fadillah berkata, ia berada pada tahap yang baik kerana ada beberapa projek yang siap lebih awal dari jadual.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, jika mengikut kayu pengukur kepada peratusan siap pembinaan di negeri itu, ia sudah mencapai 56 peratus lebih kurang.

Terdahulu, Fadillah dijadual melakukan kerja tinjauan pembaikan infra pasca banjir, penyenggaraan Jalan Persekutuan dan projek infrastruktur awam di beberapa negeri di kawasan timur.

Ia sebagai sebahagian daripada lokasi tinjauan di bawah Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 yang menelusuri tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak yang berlangsung sehingga Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Ketua Pengarah Kerja Raya JKR, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.