SUNGAI PETANI: Keletah seorang kanak-kanak lelaki melaporkan penemuan seekor ular sawa secara langsung melalui akaun Facebooknya menjadi tular hari ini.

Klip video berdurasi dua minit 47 saat itu memperlihatkan Muhammad Hafiq Mohd Asyraf, 11, memaklumkan penemuan ular berkenaan dalam longkang di pasar awam dekat pekan Bukit Selambau, di sini.

Gaya 'laporannya' yang yakin dan bersungguh-sungguh namun penuh dengan informasi mencuri perhatian netizen, malah ramai yang meninggalkan komen berkata dia mempunyai bakat semula jadi untuk menjadi wartawan.

"Assamualaikum warga Bukit Selambau, selamat petang. Ini kejadian baru berlaku di market Bukit Selambau, ada kemunculan ular sawa yang paling besar, yang amat-amat besar... muncul di dalam longkang.

"Kami sedang membersihkan longkang di kawasan market dan kami tak tau pasal apa ayaq (air) boleh bertakung yang sangat tinggi... kami ingat ada sampahlah kan, bila kami ingat ada sampah, rupa-rupanya bukan sampah, tapi ular sawa yang sangat-sangat besar...," antara kata-katanya yang mencuit hati netizen.


Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya  menerima panggilan berhubung penemuan ular sawa tersebut pada jam 6.27 petang.

Katanya, empat orang anggota Skuad Bravo APM diketuai Koperal (PA) Siti Salmah Zakaria bergegas ke lokasi dan tiba pada kira-kira jam 7.36 petang. 

“Ular sawa sepanjang empat meter dan berat 30 kilogram akhirnya dapat ditangkap di dalam longkang berkenaan.

“Ketika menangkap ular tersebut tidak berdaya lagi untuk bergerak kerana kekenyangan dipercayai baru lepas makan sesuatu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azahar berkata, ular sawa yang ditangkap itu kemudian dilepas semula ke habitat asal.