KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, empat anak dan ibu mentuanya bersetuju untuk berbincang secara baik bagi menyelesaikan kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada Selasa.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid, peguam Syarie, Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 66, selaku plaintif berkata, terdapat proses perbincangan untuk menyelesaikan kes ini secara baik seperti mana saranan mahkamah ketika sebutan kes terdahulu.

"Kesemua pihak bersetuju untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada Selasa.

"Kami akan hadir semula untuk perbincangan keluarga yang mana ia tidak melibatkan peguam serta pihak luar,” katanya.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar dan peguam Syarie Farhan Haziq Mohamed yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah selaku defendan kelima, kemudian mengesahkan terdapat perbincangan keluarga dalam menyelesaikan kes tuntutan tersebut.

Mendengar perkara itu, hakim syarie itu berkata, mahkamah meraikan tindakan yang dibuat kesemua pihak.

"Memandangkan ada tolak ansur daripada pihak-pihak untuk menyelesaikan tuntutan secara baik, diharapkan tidak berlaku sebarang pertengkaran yang dapat merosakkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Abdul Shukor kemudiannya menetapkan 31 Januari 2023 bagi keputusan status perbincangan kes tuntutan itu.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.