KUALA LUMPUR: Sesebuah keluarga tidak lari daripada perselisihan faham, namun jangan biarkan ia memudaratkan keluarga sebagai satu unit.

Presiden Kehormat Dewan Tanggungjawab Sosial Malaysia (CSR Malaysia), Chris Daniel Wong berkata, segala masalah yang dihadapi perlu diselesaikan dan dirunding bersama bagi mencari titik penyelesaian.

Justeru katanya, nilai-nilai ketimuran perlu diperkukuhkan oleh semua pihak dalam menyahut seruan konsep Keluarga Malaysia.

"Kita harus faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berlandaskan nilai-nilai timur. Kita bukan satu negara yang berlandaskan nilai kebaratan. Dari segi ini apabila kita melihat balik pada nilai-nilai ketimuran, pelbagai masalah boleh diselesaikan apabila kita duduk dan bermusaharah.

"Apabila kita terapkan nilai-nilai kebaratan dalam sistem politik negara, maka jadi kacau-bilau. Setiap pendapat yang diutarakan akan dikritik ataupun dibantah secara kekerasan atau dengan kata-kata kesat," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chris berkata apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah menghentikan segala politiking.

BACA: PM ajak semua Ahli Parlimen selamatkan Keluarga Malaysia

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Selamatkan Keluarga Malaysia - PM

Ini kerana, jelas beliau rakyat menaruh harapan besar kepada kerajaan dan pembangkang untuk sama-sama menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Dari segi ini kita kena faham ada masanya kita boleh berpolitik dan ada masanya kita harus berhenti berpolitik.

"Rata-rata jabatan dan agensi-agensi kerajaan memerlukan pemimpin iaitu seorang menteri dan menteri ini adalah jeneral perang untuk bahagian-bahagian mereka, yang dipimpin oleh Perdana Menteri.

"Kakitangan awam harus bekerjasama dengan lantikan politik dan lantikan politik iaitu menteri harus  bekerjasama dengan pembangkang supaya idea-idea yang disyorkan oleh pembangkang boleh diambil pakai.

"Kita nampak kesinambungan untuk ketiga-tiga belah pihak bekerjasama," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Chris menyifatkan konsep Keluarga Malaysia sebagai bertepatan dan amat praktis memandangkan kerjasama diperlukan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Jelasnya lagi, konsep Keluarga Malaysia mencerminkan kesinambungan dalam mendahulukan rakyat lebih daripada segalanya