KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan kesalahan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat memadamkan jasa besar bekas Perdana Menteri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan terus bersama Najib dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin keadilan dan tidak 'dimangsakan dengan tekanan politik'.

"Keluarga besar UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Najib pada 23 Ogos.

"UMNO merasakan amat terkilan kerana proses dan ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

"Walaupun jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,"  katanya dalam satu kenyataan yang turut ditular Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di akaun Twitter pada Rabu.


Mengulas lanjut, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional itu menyeru kesemua ahli UMNO untuk bertenang dan menanamkan tekad agar segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

"Ini termasuk pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara," ujarnya.