TAPAH: Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut di Kilometer 349.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, hari ini, tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektot P. Prathiparaj di talian 014-617 8095.

Menurutnya, kira-kira jam 4.45 petang Ahad, telah berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah kereta.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga Aeroback warna hitam yang dalam perjalanan menuju ke arah Ipoh, apabila sampai di tempat kejadian telah bergesel/berlanggar dengan kereta jenis Perodua Axia warna puteh.

“Kedua-dua kenderaan seterusnya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lebuh raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya lagi, dalam kemalangan itu, penumpang belakang kereta Proton Saga Aeroback, seorang perempuan berumur 59 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu supaya kemalangan seumpama itu dapat dielakkan.