KUALA KANGSAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua buah treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang meragut nyawa lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), awal pagi Khamis.

Dalam masa sama, JPJ juga tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia.


Menurut kenyataan JPJ yang dikeluarkan hari ini, tindakan siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bersama-sama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dilaksanakan untuk menentukan bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil.
 

“Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, Permit dan Lesen Pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.


“Manakala, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” kata kenyataan itu.

[TERKINI] Nahas lima pelajar USAS - JPJ tidak kompromi



BACA: Lima mangsa rentung disahkan pelajar USAS

BACA: Kereta 5 mangsa rentung dirempuh dari belakang, tersepit di antara dua treler - Polis

Selain itu, katanya, siasatan polis juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, kepada pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah serta, pemandu terbabit juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan mahkamah.


Menurut kenyataan itu lagi, hasil semakan dalam pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).


“Jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu,” ujarnya.


JPJ menegaskan bahawa usaha mereka, termasuk pelaksanaan Larangan Kenderaan Barangan (Road Ban) sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 lalu adalah bermatlamat untuk memastikan nahas seperti ini dapat dielakkan sekaligus menurunkan kadar kemalangan di Malaysia.


Pada masa sama, katanya, semua pengendali syarikat, pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan disaran untuk sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang bagi meningkatkan tahap keselamatan sekaligus mewujudkan ekosistem jalan raya yang selamat di negara ini.


Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, JPJ berharap kejadian seumpama itu tidak akan berulang.


Dalam kejadian awal pagi Khamis, lima pelajar USAS maut selepas terlibat dalam kejadian kebakaran kereta dan treler di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.


Mangsa yang terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.