KUALA KANGSAR: Jenazah tiga penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi semalam, dibawa ke Hospital Taiping pagi ini. 

Menurut jurucakap USAS, ketiga-tiga jenazah itu dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans kira-kira jam 9.45 pagi, untuk proses bedah siasat selanjutnya. 

Tiga jenazah itu yang belum dikenal pasti identitinya ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 tahun, dari Kubu Bharu, Selangor; Iqbal Hasnun Halimi, 23 tahun, dari Senai, Johor dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 tahun, dari Batu Caves, Selangor.

Semalam, dua daripada jenazah telah dikenal pasti dan dihantar ke kampung masing-masing untuk dikebumikan.

Mereka ialah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 tahun, dari Kemaman, Terengganu dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 tahun, dari Parit Buntar, Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, waris tiga penuntut tersebut telah memberikan sampel masing-masing untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurutnya, proses bedah siasat ketiga-tiga mayat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Taiping, hari ini.

Dalam kemalangan awal pagi Khamis, lima penuntut USAS rentung dalam nahas yang melibatkan dua lori dan sebuah kereta di Lebuhraya Utara Selatan.

Kereta yang membawa lima mangsa yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar itu dipercayai dirempuh dari belakang sebelum terbakar.