KEMAS gerakkan 1,256 sukarelawan bantu mangsa banjir

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 23, 2021 05:53 MYT
Antara kawasan yang akan ditumpukan untuk bantuan adalah membabitkan Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang. - Foto Twitter Mahdzir Khalid
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah menggerakkan misi sukarelawan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, seramai 1,256 sukarelawan membabitkan kakitangan dan pegawainya akan memberi bantuan kepada mangsa selama tiga hari bermula hari ini.
“Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga di rumah-rumah berhampiran.
“Kita harap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula," katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya setakat ini 207 premis Tabika, Taska dan Pusat Kegiatan KEMAS di seluruh negara sudah dikenalpasti terjejas akibat banjir yang melanda.
“Paling teruk terjejas premis Tabika KEMAS di Selangor dengan jumlah 111 buah dan di Pahang 58 buah. Manakala sejumlah 357 kakitangan KEMAS turut menjadi mangsa banjir di seluruh negara,” katanya lagi.
Antara kawasan yang akan ditumpukan dalam misi ini adalah Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang.
#banjir #GERAKAN #Klang #Mahdzir Khalid #mangsa banjir #mati lemas #Pahang #Puchong #shah alam #Kemas