KUALA LUMPUR: Komposisi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi (JPKKSI) tidak membayangkan kadar atau nisbah ahli yang mewakili parti-parti politik di dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Pengerusinya Dr Kelvin Yii Lee Wuen, representasi itu harus dinilai semula kerana ketika ini hanya satu perwakilan dari Pakatan Harapan (PH) yang menyertainya, iaitu beliau sendiri.

Sedangkan, kata Yii, PH memiliki bilangan wakil rakyat tertinggi dengan 89 orang, atau 41.6 peratus daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat dengan keahlian parti.

‘’Pada masa ini, JPKKSI terdiri daripada dua wakil UMNO melibatkan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Bung Moktar Radin, wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Lukanisman Awang Sauni; wakil Pas Wan Hassan Mohd Ramli; dan ahli Bebas, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

‘’Mengambil kira fakta tersebut, Jawatankuasa Pilihan seharusnya mengambil kesempatan ini untuk membetulkan atau mengemaskini komposisi JPKKSI untuk mematuhi Peraturan Mesyuarat 82(1),’’ katanya hari ini.

BACA: Parlimen dicadang tubuh 9 jawatankuasa pilihan khas baharu - Speaker 

BACA: Khairy beri jaminan perbelanjaan, perjanjian PICK akan dibentang kepada PAC 

Menurut peraturan mesyuarat tersebut, "seberapa bolehnya tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan hendaklah ditubuhkan supaya terbayang di dalamnya kadar parti masing-masing dalam Majlis."

Justeru, Yii yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP, menggesa supaya jumlah ahli jawatankuasa ditambah untuk mengemas kini komposisi JPKKSI bagi mematuhi peraturan mesyuarat sedia ada.

Terdahulu, beliau menghantar surat rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun memohon agar tindakan segera diambil bagi meningkatkan jumlah ahli JPKKSI dan jawatankuasa lain, bagi mencerminkan keseimbangan keahlian parti-parti dalam Majlis Mesyuarat.

Beliau merujuk kepada pelantikan ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu bagi menggantikan ahli yang dilantik menjadi anggota pentadbiran, dalam surat Azhar bertarikh 30 Ogos.