Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kembali mencatatkan satu lagi kematian pada Sabtu selepas 26 hari tiada kematian dilaporkan dalam negara.

Ini perincian bagi kes kematian yang melibatkan seorang lelaki warganegara yang berusia 72 tahun:

1) Kes kematian ke-122 (kes ke-8702) merupakan lelaki warganegara, berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

2) Dalam pada itu, terdapat lapan kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,704 kes.

3) Daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia.

4) Manakala daripada empat kes penularan di dalam negara pula, dua kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.

5) Sehingga 10 Julai 2020, sebanyak 60,952 sampel pra pembedahan telah diambil dan 21 daripadanya telah didapati positif COVID-19 iaitu kadar positif sebanyak 0.03 peratus.

Berikut adalah perincian kes jangkitan dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (2 kes) adalah seperti berikut:

• Sarawak: satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Kes ini juga merupakan kes kematian ke-122 yang dilaporkan hari ini.

• Sabah: satu (1) kes saringan bagi kes yang dirujuk ke hospital.

Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara Malaysia (2 kes) pula adalah seperti berikut:

• Selangor: dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal.

• Sehingga kini, terdapat tiga (3) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua kes adalah memerlukan bantuan pernafasan.