Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan bagi jawatan timbalan presiden Umno adalah satu amanah dan tanggungjawab penting yang perlu digalas dengan ikhlas serta jujur demi kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.

Timbalan Perdana Menteri, yang menang jawatan itu tanpa bertanding, melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk meneruskan khidmat kepada Umno.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada anggota Umno yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk terus menggalas cita-cita dan matlamat perjuangan Umno," katanya dalam kenyataan di sini.

Pengumuman kemenangan Muhyiddin dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada sidang media selepas tamat proses penyerahan borang pencalonan bagi pemilihan Umno bulan depan, pada 5 petang tadi.

Sebelum itu, Tajol Rosli turut mengumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menang jawatan presiden Umno tanpa bertanding selepas tiada borang pencalonan lain diserahkan selain yang dikemukakan kedua-dua pemimpin itu.

Muhyiddin, yang memegang jawatan timbalan presiden sejak 2009, turut mengucapkan tahniah kepada Najib dan berjanji akan terus membantu presiden Umno itu mengukuhkan parti.

"Selaku timbalan presiden, saya akan terus membantu presiden untuk memperkukuhkan parti dan memastikan Umno beroleh kemenangan dan kejayaan yang lebih gemilang di masa depan," katanya.

Muhyiddin juga berkata keputusan menang tanpa bertanding bagi kedua-dua jawatan tertinggi itu menunjukkan kemenangan anggota parti yang mahu melihat Umno terus kukuh dan mantap dalam menjayakan proses transformasi.