Kementerian Ekonomi peruntuk RM40 juta untuk program AII-SLDN

Firdaus Azil
Ogos 1, 2023 08:26 MYT
Melalui program AII-SLDN, peserta program akan dilatih dan disijilkan semasa bekerja melalui konsep place and train. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi telah memperuntukkan RM40 juta melalui program Academy In Industriy (AII) bagi membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal, tanpa perlu mempunyai kelayakan TVET terlebih dahulu.
Menterinya Rafizi Ramli berkata, melalui program tersebut, peserta program akan dilatih dan disijilkan semasa bekerja melalui konsep place and train.
Pendekatan baharu tersebut, jelas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, mengambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas alam persekolahan.
"Kita sasar (peruntukan) RM40 juta dulu tahun ini sebab kita berbaki masa dalam tiga empat bulan ini, kita perlu melihat dahulu prestasi kumpulan pertama pelatih. Peruntukan RM40 mil ini selepas mengambil kira peruntukan RM4,000 bagi setiap pelatih.
“(Peruntukan) Tahun depan bergantung kepada ini kerana selepas lima bulan, kita dapat melihat berapa ramai majikan yang akan menyertai program ini untuk menjadi rakan strategik dan seterusnya yang ditauliahkan dalam AII. Jadi kita unjurkan berapa ramai lagi pekerja yang akan sertai, baru kita akan ubah peruntukan sewajarnya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan program AII, yang akan dikelola secara strategik oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

INSENTIF RM40 JUTA UNTUK 20,000 LEPASAN SEKOLAH BAGI MENYERTAI ACADEMY IN INDUSTRY (AiI) PADA 2023 Masalah peluang kerja dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi isu utama dalam struktur ekonomi Malaysia. Golongan muda kurang minat untuk memasuki sektor ini, pic.twitter.com/rYIfXsJtV2

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) August 1, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Rafizi berkata, dana itu akan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja, insentif lulus kekal dalam pekerjaan, dan insentif pensijilan sekiranya pelatih kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan untuk menerima sijil SKM.
Bagi pihak majikan pula, beliau berkata, mereka akan diberikan insentif latihan bagi pelatih yang disijilkan di akhir tempoh sembilan hingga 18 bulan.
Rafizi berkata program itu dijangka dapat menyelesaikan masalah utama yang membelenggu syarikat-syarikat dalam mengekalkan tenaga kerja tempatan, dan terlampau bergantung kepada tenaga pekerja asing.
Jelasnya lagi, program itu mempunyai juga mempunyai potensi untuk membolehkan pekerja berkemahiran bersasar ini, dapat mencapai jumlah pendapatan dalam tempoh beberapa tahun tertentu, seperti mana yang diraih kumpulan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Setakat hari ini, Rafizi berkata, sebanyak 200 syarikat rintis di bawah AII telah berjaya mendapat pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dari JPK bagi memperkasakan tenaga kerja mahir dan produktif bagi memenuhi keperluan industri.
#Rafizi Ramli #AII-SLDN #tenaga kerja tempatan #TVET