Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi benar hotel keluarkan permit umrah sempena Ramadan

Bernama
Mei 6, 2021 08:45 MYT
Sebanyak 1,800 hotel dan lebih 250,000 unit kediaman bakal disediakan untuk menerima jemaah umrah, berdasarkan protokol kemudahan penginapan pelancongan yang berkaitan. - Gambar fail/REUTERS
JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan hotel di sekitar Masjidil Haram mengeluarkan permit umrah sempena Ramadan selain bertujuan merancakkan kembali sektor perhotelan di Mekah, demikian menurut laporan pada Selasa.
Langkah itu akan dilaksanakan Kementerian Haji dan Umrah, bersama Pihak Berkuasa untuk Data dan Kecerdasan Buatan melalui aplikasi "Eatmarna" dan "Tawakkalna", dengan syarat tetamu memenuhi syarat peraturan dan protokol kesihatan yang ditetapkan.
Dalam satu kenyataan kepada Agensi Berita Saudi (SPA), Timbalan Menteri Haji dan Umrah Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat, menekankan prosedur ini akan berperanan mengaktifkan proses pelaburan sektor perhotelan, yang banyak bergantung pada musim haji dan umrah, yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan langkah pencegahan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perhotelan di bawah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Mekah, Rayan Osama Filali, menjelaskan sebanyak 1,800 hotel dan lebih 250,000 unit kediaman bakal disediakan untuk menerima jemaah umrah, berdasarkan protokol kemudahan penginapan pelancongan yang berkaitan.
-- BERNAMA
#Haji #umrah #Arab Saudi #hotel #Ramadan #COVID-19 #pelancongan #Mekah