KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis (Tdap) kepada ibu hamil sebagai usaha untuk mencegah pertussis atau batuk kokol.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pemberian vaksin tersebut bertujuan melindungi bayi bermula dari kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti yang tertakluk dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan.

"Kebanyakan kes pertussis dalam negara adalah dalam kalangan bayi berumur kurang daripada lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optimum kerana masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Zaliha sebanyak 132 kes pertussis atau batuk kokol direkodkan dalam negara setakat 28 April lalu dengan dua kematian, menurun 73.3 peratus berbanding 495 kes jangkitan pada 28 April 2019.

Beliau berkata bayi berumur bawah 12 bulan mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8 peratus) manakala 47 kes (35.6 peratus) melibatkan kanak-kanak berumur di antara 1 tahun hingga 10 dan selebihnya berumur 11 tahun ke atas.

Dr Zaliha berkata imunisasi merupakan langkah pencegahan pertussis yang berkesan dan di Malayais, vaksin pertussis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.

"Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa," katanya.

Dr Zaliha berkata daripada 132 kes tahun ini, sebanyak 89 kes iaitu 67.4 peratus melibatkan warganegara manakala 43 kes atau 32.6 peratus lagi bukan warganegara.

Katanya bilangan kes pertussis di Malaysia menurun dengan mendadak pada 2020 hingga 2021 iaitu semasa pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

Dr Zaliha berkata individu yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin iaitu dengan menutup mulut dan diikuti mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.

Pertussis adalah penyakit cegahan vaksin disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis yang menjangkiti mulut, hidung dan tekak selain boleh tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.

Gejala lazim pertussis adalah batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu dan boleh berlarutan sehingga dua bulan.

-- BERNAMA