Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan pembabitan mereka dalam kempen "Program Bersepadu 1 Ayah 2 Ibu" yang tersebar di laman sosial.

Program tersebut, yang dikatakan untuk menggalakkan poligami, didakwa dianjurkan oleh KPWKM.

Hal itu disahkan oleh Unit Komunikasi Korporat KPWKM, dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

"KPWKM dan agensi di bawahnya menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa Program Bersepadu 1 Ayah 2 Ibu yang dihebahkan melalui laman dan aplikasi media sosial ada berkaitan dengan Kementerian," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pihak kementerian telah membuat laporan polis selain aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

"Pihak kementerian juga kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang menyalahgunakan logo, nama dan laman web KPWKM dalam poster program berkenaan," kata kenyataan itu.

Pihak kementerian juga meminta kerjasama orang ramai agar tidak terus memviralkan gambar program berkenaan.