KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memantau rapat isu penjualan saham Menara Kuala Lumpur dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh jika pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu tersebut.

Menterinya Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, beliau turut telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada KKD pada 14 Disember lalu.

“Saya memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial serta soalan-soalan yang ditanya media berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada pihak Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

“Saya difahamkan bahawa konsesi pengurusan Menara KL kini dalam tempoh interim ketiga sehingga 31 Disember 2022 oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd,” jelasnya.

Tambah beliau, TM juga bakal memberi taklimat menyeluruh berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL kepada pihak kementerian pada 3 Januari depan.

Sementara itu, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa memberitahu portal berita  MalaysiaKini bahawa kementerian itu tidak terlibat dalam perjanjian pengambilalihan Menara KL.

“Tanya TM, kalau syarikat untung RM25 juta kenapa mereka tak nak dan kenapa nak bagi orang?” kata Annuar, memetik laporan portal berita berkenaan. 

Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan bahawa Telekom menjual anak syarikat yang menguruskan Menara KL kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd.

Astro AWANI telah menghubungi TM dan sedang menunggu respons daripada pihaknya.