KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sekali lagi melancarkan kempen Ketuanan Pengundi bagi memperkasakan suara rakyat sebagai suara keramat dalam demokrasi negara.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, kempen inisiatif melalui pembaharuan insitusi dan sistem politik negara itu akan berlangsung sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan kali ini lebih tertumpu di kawasan pedalaman.

Beliau menjelaskan, kempen itu mengetengahkan enam tuntutan dalam memperkasakan hak pengundi dan meratakan padang permainan politik negara.

"Pengundi diketepikan dalam keadaan politik negara. Kita ada membuat kajian berhubung isu ini dan kita ada membuat beberapa cadangan untuk mereformasikan institusi negara," katanya kepada pemberita selepas sesi townhall di sini, pada Sabtu.

Kempen itu akan membawa semua pembaharuan penting dalam enam tuntutan untuk memperkasakan hak pengundi. Enam tuntutan tersebut adalah:

1. Jangan nafi undi rakyat

2. Hentikan lompat parti

3. Bebaskan Parlimen daripada cengkaman eksekutif

4. Hapuskan akta drakonian
5. Tolak dua darjat

6. Berikan undi kepada pembayar cukai