SARIKEI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi mendapatkan input sama ada wujud keperluan untuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 negeri itu berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata buat masa ini pihaknya sudah mengguna pakai konsep berkenaan dalam PRN Melaka lepas dan sedang dalam proses post mortem.

"Sarawak unik dan berbeza dari Melaka, jadi kita akan rujuk kerajaan negeri, tengok apa yang sesuai apa patut, yang penting apa diperlukan untuk memberikan pendedahan kepada calon-calon (PRN Sarawak).

"Secara konsep boleh dilaksanakan, tapi saya perlu berbincang dengan kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Kampung Selalang, di sini hari ini.

Sebelum ini Annuar berkata parti-parti kerajaan lebih bersikap terbuka dalam menghadapi PRN Melaka dengan memberi ruang sama rata kepada semua parti termasuk parti lawan dalam kempen, dan kerajaan juga membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan poster serta biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka lepas.

SPR menetapkan 18 Dis depan sebagai tarikh pengundian PRN Sarawak manakala hari penamaan pada 6 Dis.

-- BERNAMA