KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar mengenal pasti jenis pokok dan kesesuaian lokasi menanam bagi memastikan pokok dapat tumbuh dengan baik dan menjadikan jangka hayatnya lebih panjang, seterusnya menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Ketua Program Biodiversiti Flora Bahagian Biodiversiti Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Richard Chung berkata, pemilihan spesies pokok hendaklah bersesuaian dengan kawasan menanam serta memberi manfaat kepada persekitaran ekologi dan dapat memenuhi usaha pemuliharaan.

Bagi kawasan yang besar, penanaman hanya satu atau dua jenis spesies pokok sahaja perlu dielakkan, sebaliknya campuran pelbagai jenis spesies pokok dapat mewujudkan persekitaran yang lebih stabil.

"Pemilihan spesies hendaklah memenuhi matlamat penanaman dan bersesuaian dengan tapaknya, antaranya mengutamakan spesies pokok tempatan, pertumbuhan cepat dengan penjagaan minimum, akar yang dalam, sesuai dengan keadaan tanah, kurang keguguran daun, ranting atau buah dan tidak menghasilkan buah atau getah beracun.

Ramai yang minat menanam spesies pokok hutan di halaman rumah tanpa menyedari pokok itu akan menimbulkan masalah penyelenggaraan terutama bagi mengawal pertumbuhan supaya tidak mengganggu atau merosakkan kemudahan awam yang ada di sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang dilancar Januari lepas adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia sebagai usaha memulihara kepelbagaian biologi negara disamping meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi dan sungai.

Menurut Chung, spesies pokok boleh dikenali melalui habitat semula jadi atau pengecaman menggunakan ciri-ciri lapangan dan ciri-ciri herbarium.

Katanya, antara habitat semula jadi yang dijumpai di negara ini termasuk hutan dipterokarpa bukit, hutan dipterokarpa bukit atas, hutan oak gunung, hutan ericaceous gunung, hutan paya laut, hutan paya gambut, hutan paya air tawar, hutan pinggir riparian, hutan pantai, hutan rawa dan hutan batu kapur.

"Ciri-ciri lapangan pula digunakan untuk mengecam pokok adalah bentuk dan warna silara pokok, sifat dan warna batang pokok, permukaan dan warna kulit pokok, warna, getah, susunan serta bau kulit dalam pokok itu.

Sementara ciri-ciri herbarium untuk mengenal spesies adalah melalui ciri dan jenis daun, bunga serta buah yang perlu dinilai untuk memperolehi pengecaman spesies yang tepat," katanya.

Di Malaysia terdapat hampir 15,000 spesies tumbuhan vaskular dengan lebih 5,000 daripadanya adalah pokok, sementara di Herbarium Kepong yang diiktiraf sebagai Herbarium Kebangsaan Malaysia kini memiliki lebihi 400,000 spesimen tumbuhan dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA