JOHOR BAHRU: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor Bahru (MBIP) dan pemilik syarikat kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor, semalam kerana kesalahan mengemukakan dokumen palsu.

Kedua-dua suspek lelaki dan perempuan berusia 36 dan 45 tahun tersebut telah ditahan kira-kira jam 6 petang semalam, di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut kenyataan SPRM, hasil siasatan yang dijalankan mendapati penolong jurutera tersebut telah bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar miliknya dengan mengemukakan dokumen dan sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB, Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang mengandungi butir matan palsu kepada pihak MBIP.

Ia bagi mendapatkan kelulusan kerja-kerja di MBIP sepanjang tahun 2018 sehingga 2020 antaranya kerja mengikis permukaan jalan dan menurap semula jalan serta mengecat semula petak meletak kenderaan yang melibatkan jumlah keseluruhan tuntutan lebih RM350,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 ASPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.