KEMAMAN: Kelibat seekor beruang matahari yang memasuki halaman rumah di Kampung Baru Kerteh, Kemaman, Terengganu menimbulkan kebimbangan penduduk.

Visual beruang memanjat pagar rumah milik penduduk dirakam individu yang melalui kawasan itu tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Kemunculan haiwan liar tersebut menyebabkan penduduk kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

Menurut Zaiton Deraman, kejadian berkenaan adalah yang pertama seumpamanya.

"Saya bimbang juga, sebab selama ini tak pernah. Takut juga kadang-kadang kalau kita keluar malam, takut terjumpa apa dengan haiwan ini, takut kena serang.

"Di sini kalau waktu malam memang sunyi, memang takutlah nak keluar ke apa," katanya.

Penduduk berharap beruang tersebut ditangkap segera bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati haiwan terbabit dipercayai datang dari Hutan Simpan Kerteh yang terletak berhampiran kawasan perumahan penduduk.

Menurutnya, Perhilitan telah menghantar pegawai untuk pemantauan dan tindakan lanjut.