KUALA LUMPUR: Semakan elaun lembaga pengarah FGV Holdings Berhad (FGV) disifatkan wajar kerana setelah sekian lama tidak pernah disemak dan ia sejajar dengan prestasi syarikat yang mencatatkan pencapaian terbaik pada 2021, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.175 bilion.

Lembaga Kemajuan Tanah Pesekutuan (Felda) dalam satu kenyataan berkata, imbuhan tersebut juga wajar setelah dikaji perunding luar secara perbandingan dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat tersenarai dengan modal pasaran setaraf FGV sebagai penanda aras.

Jelas Felda, semakan itu merangkumi elaun Pengerusi dan turut melibatkan elaun kereta yang hanya diklasifikasikan semula kepada yuran pengarah.

"Perubahan ini bersesuaian dengan tanggungjawab Lembaga Pengarah untuk menguruskan syarikat tersenarai yang bermodal pasaran cukup besar seperti FGV.

"Pemegang saham selain Felda juga telah mengundi menyokong kenaikan imbuhan tersebut semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang baru sahaja selesai sebagai tanda kewajaran semakan ini," kata kenyataan itu, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Felda berkata akan terus memastikan FGV beroperasi secara cemerlang berdasarkan pengurusan yang terbaik dengan pulangan yang optimum kepada syarikat itu demi menjaga kepentingan peneroka dan generasi baharu.

Oleh itu, Felda tambahnya akan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada dasar-dasar, cadangan dan perancangan daripada FGV berdasarkan jaminan bahawa pencapaian syarikat itu mesti terus dipertingkatkan.

"Untuk rekod, Felda sebelum ini pernah menolak resolusi bayaran yuran Pengarah FGV pada 2019 apabila syarikat itu tidak mencatatkan keuntungan.

"Ini jelas membuktikan komitmen Felda dalam melindungi kepentingannya sebagai pemegang saham utama," tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, agenda AGM yang tular menyatakan elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000, sekali gus menjadikan elaun bulanan RM40,000 sebulan berbanding RM25,000 sebelum ini.

Pada masa sama, elaun Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.