HULU TERENGGANU: Tabung Haji (TH) diminta mengkaji serta memperhalusi perbezaan kos yang dikenakan kepada golongan B40 dan bukan golongan B40.

Ia berikutan, selain golongan B40, ramai dalam kalangan mereka yang bakal menunaikan haji terdiri daripada golongan bukan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Orang awam yang ditemui sifatkan peningkatan kadar kos bayaran kepada bakal jemaah Muassasah yang pertama kali mengerjakan haji tahun ini wajar diselaraskan.

"Kita seharusnya membuat ini sebagaimana yang dahululah. Kalau RM9,000, semua kena RM9,000. Kenapa ada berbezaan?

"Itu patut dinilai semulal, melihat semula supaya terdapat kesamarataan antara jemaah-jemaah yang akan menunaikan haji.

"Jadi esok mereka akan buat perbandingan. Yang ini 10,000, yang ini RM12,000, bilik yang sama. Jadi saya rasa kurang baiklah keadaan. Kerajaan perlu melihat semula harga ini, biar ada nampak kesamarataan," kata pesara guru, Zawawi Ismail.

Bagi pekerja swasta, Zaki Ali pula, dalam keadaan ekonomi semasa, kerajaan harus tangguhkan kenaikan harga tunaikan haji buat sementara waktu.

"Memandangkan kita sekarang ini dalam keadaan endemik, bagi saya perlu dikaji dan diperhalusi semula.

Bagi golongan yang berpendapatan lebih, mungkin bagi dia tak ada masalah tapi bagi golongan yang amat-amat, kata orang dalam keadaan ekonomi hari ni, dengan kenaikan harga barang, dengan bermacam-macam kos yang kata orang meningkat daripada asal, wajar kerajaan tangguhkan dulu buat masa ini," katanya.

Ada juga berpendapat kadar kenaikan yang ditetapkan TH adalah wajar berdasarkan syarat dan peraturan terbaharu kerajaan Arab Saudi.

"Bagi saya mendapat kenaikan adalah seimbanglah, seimbang tidak tinggi sangat, kena sangat memandangkan keadaan pasaran benda-benda lain sekarang ini, kosnya meningkat, apa benda semua meningkat.

"Bagi saya golongan B40 atau M40, saya rasa tidak membebankan sangatlah, cuma ada peningkatan sikit sahaja dan ia masih relevan.

"Kerajaan kita sekarang boleh seimbang lagilah, tak menekan sangat pada rakyat jelata." kata peneroka Felda, Abdullah Yaacob.

Lembaga TH sebelum ini umum dua kadar bayaran kepada bakal jemaah Muassasah yang pertama kali mengerjakan haji tahun ini.

Dua kadar bayaran yang diperkenalkan itu ialah RM10,980 perlu dibayar setiap jemaah Muassasah daripada golongan B40 sementara bagi jemaah bukan daripada kategori B40 pula, akan dikenakan sebanyak RM12,980.

Ia menyaksikan peningkatan RM1,000 kepada golongan B40 dan kenaikan RM3,000 bagi kategori bukan B40.