KUALA LUMPUR: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan tindakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang didakwa tidak mengusahakan sepenuhnya tanah seluas 260,000 hektar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada agensi tersebut dalam menangani isu kemiskinan luar bandar.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, setakat ini dianggarkan hanya 100,000 hektar tanah dimajukan di negeri itu.

"Tentang dasar kerajaan membangunkan tanah bersama Felda, tujuan utama adalah membasmi kemiskinan luar bandar.

"Mengapa berlaku sejumlah 260,000 hektar yang diberikan oleh Sabah kepada Felda. Manakala di Pahang, hampir 30,000 peneroka, Negeri Sembilan (7,000 peneroka) dan di Sabah seluas tanah 260,000 hektar diberikan.

"Adakah kementerian sedar, dan bila agaknya (bangunkan tanah tersebut?)

"Jangan hanya bagi tanah ini kepada FGV (FGV Holdings Berhad) kerana kita nak basmi kemiskinan," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menjawab pertanyaan tersebut, Mustapa (Bersatu-Jeli) berkata ketika ini di Sabah, tanah yang dimajukan hanya di Felda Sahabat tetapi agensi tersebut terus berusaha untuk mengatasi kemiskinan dalam kalangan peneroka.

"Di kawasan Felda, yang miskin mungkin ada, tapi akhir-akhir ini kita tahu bahawa bila harga kelapa sawit, kecuali seminggu dua ini, berada pada tahap melebihi RM5,000 satu tan.

"Ada peneroka Felda yang mendapat pendapatan purata di antara RM7,000 dan RM8,000. Maka, Felda telah berjaya meningkatkan pendapatan.

"FGV kini memiliki hampir 83 peratus dan dividen yang diperoleh FGV akan diterima oleh Felda. Sudah pasti ini akan digunakan untuk mengangkat martabat peneroka Felda seramai 112,000 termasuk di Felda Sabahat," katanya.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan Mustapa dipertikai Mohd Shafie kerana disifatkan tidak menjawab persoalan berhubung isu pembukaan tanah seluas 260,000 hektar di Sabah.

Sebelum itu, Mustapa memaklumkan kerajaan juga telah melupuskan sekitar RM8.4 bilion hutang melibatkan para peneroka dalam usaha meringankan beban golongan tersebut.

Selain itu, beliau berkata seramai 17,304 iaitu 15.4 peratus peneroka mengusahakan tanam semula secara individu daripada 112,638 jumlah Felda.

"Daripada 17,304, jumlah peneroka yang tanam semula secara individu sebanyak 8,501 peneroka menghantar hasil melalui paysheet Felda iaitu 49.1 peratus.

“Manakala 50.9 peratus peneroka menghantar hasil mereka kepada peraih luar,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin).