KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan dikesan dipandu secara melawan arus di Lebuhraya MEX berhampiran Seri Kembangan pagi tadi.

Tindakan nekad pemandu kereta Perodua Myvi itu sempat dirakam kru Astro AWANI kira kira jam 11.10 pagi ketika dalam perjalanan pulang dari Banting.

Kenderaan terbabit dipercayai dipandu di lorong tengah lebuh raya berkenaan dengan kelajuan sekitar 60 hingga 70 kilometer sejam.

Video berdurasi 19 saat yang sempat dirakam jurukamera Astro AWANI, R Sujenthiran itu turut memaparkan kenderaan lain yang membunyikan hon kepada kenderaan tersebut.


Bagaimanapun tidak dapat dipastikan motif serta punca mengapa pemandu terbabit bertindak demikian.

Astro AWANI telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masih menanti perkembangan berhubung kejadian.