PASIR PUTEH: Polis menjangkakan jumlah kemasukan kenderaan di seluruh Kelantan terus bertambah antara 10 hingga 15 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina Ahad ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pertambahan itu dapat dilihat di tiga pintu masuk utama iaitu Jeli, Gua Musang dan Bukit Yong.

“Polis akan memberi tumpuan di lokasi panas termasuk di kawasan Jeli dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Gua Musang yang biasanya sesak terutama pada cuti perayaan.

"Setakat ini, 54 lokasi rehat dikenal pasti menjadi tempat persinggahan perantau. Oleh itu, kita harap tempat rehat seperti ini mempunyai pengurusan yang lebih sistematik bagi mengelakkan kesesakan selain memberi keselesaan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Op Selamat 19/2023 di hadapan Balai Polis Bukit Yong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata 334 pegawai dan anggota akan bertugas sepanjang op itu melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

"Mereka akan ditempatkan di kawasan khas dan turut membuat pemeriksaan berkaitan lesen memandu selain memberi perhatian kepada kes warga asing yang membawa kenderaan tanpa lesen," katanya.