KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi Menteri-menteri Persekutuan dari Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan keputusan pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

Menerusi jadual sewaan yang disertakan, kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5 adalah RM4,851.61 sebulan berbanding RM4,854.41.

"Cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran Kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.

"Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia 6 tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap 4 tahun sekali," kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini isu pertukaran KRJ bagi Menteri-menteri Persekutuan telah dibincangkan di media sosial setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Melalui soalan lisannya di Dewan Rakyat, Sim bertanya kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai kos penyediaan Vellfire sebagai kereta rasmi untuk menteri sejak Mac 2020, dan kos bulanan pajakan kenderaan mewah itu daripada syarikat konsesi, Spanco.

Sim berkata kebanyakan menteri yang kini memegang jawatan dalam Kabinet adalah mereka yang lantang menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan menukar kenderaan rasmi.