IPOH: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini petang tadi.

Media difahamkan, dua kenderaan tertimbus akibat daripada bencana alam itu. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 1.44 petang.

[TERKINI] Kenderaan tertimbus dalam tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands


Beliau berkata difahamkan terdapat sebuah lori dan sebuah kereta tertimbus dan sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerahkan bagi kerja-kerja menyelamat.

"Setakat ini seorang pemandu lori memberi respons daripada runtuhan berkenaan dan pihak bomba sedang menjalankan kerja mengalihkan tanah runtuh dan menyelamat semua mangsa terlibat," katanya.

Walau bagaimanapun, katanya jumlah sebenar kenderaan dan bilangan mangsa terlibat masih belum disahkan.

Kejadian itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup kepada semua aliran kenderaan.


Kenderaan tertimbus dalam tanah runtuh jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands

JALAN SIMPANG PULAI-BLUE VALEEY DITUTUP

Sementara itu, laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley tersebut ditutup kepada semua jenis insiden itu

Memetik laporan Sinar Harian, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, laluan tersebut tidak selamat untuk dilalui dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

"Kawasan terlibat dalam kejadian runtuhan tanah di Kilometer 27.10 itu adalah sepanjang 100 meter.

"Kejadian dipercayai ekoran hujan berterusan yang menyebabkan hakisan tanah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pemantauan dari semasa ke semasa sedang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dan pihak konsesi jalan Persekutuan.