KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkaitan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary tidak menyentuh langsung berkenaan intipati yang disebut beliau sebelum ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, sebelum ini, beliau menerima surat rayuan daripada Yayasan Albukhary semasa menjadi Perdana Menteri yang memaklumkan pihak yayasan telah menerima pengecualian cukai untuk kerja-kerja amal Islam.

Pengecualian cukai tersebut dimaklumkan diberikan di bawah Seksyen 127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa pada bulan Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan pula melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini dengan mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti terhadap Yayasan Al-Bukhary.

"Guan Eng merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu. Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Albukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam," jelas Muhyiddin dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.




Pada Jumaat, Guan Eng mendakwa, Muhyiddin berbohong apabila mengaitkannya dengan keputusan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

Guan Eng dalam reaksinya, menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Dalam satu kenyataan selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat, Muhyiddin mendakwa kerajaan PH telah membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Presiden Bersatu itu mendakwa, ketika menerajui pentadbiran negara, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan tentang perkara itu, sebaliknya, keputusan untuk menimbangkan rayuan yang dibuat oleh
Syed Mokhtar itu diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan LHDN.