KUALA LUMPUR:Kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, berkaitan perubahan dalam barisan kepemimpinan pembangkang, mencerminkan kurangnya persefahaman dalam kepimpinan Pakatan Harapan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berpendapat, perkara itu mungkin didorong oleh perbezaan pendapat antara parti politik veteran seperti PKR dan DAP, berbanding Warisan yang masih boleh dianggap baharu dalam arena politik.

"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ia akan ada kesan, contohnya seperti baru-baru ini dalam isu Belanjawan 2021, ada yang mahu tolak semasa peringkat dasar, ada yang mahu tolak 15 Disember ini.

"Ini menunjukkan kurangnya penyatuan dan persefahaman dalam Pakatan Harapan," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.

Namun begitu, situasi itu merupakan satu perkara biasa dalam sebuah parti besar seperti Pakatan Harapan, malah jika dimanipulasi dengan baik, gabungan pemimpin muda dan lama yang ada dalam parti mampu menjadi tarikan pengundi dalam pilihan raya akan datang.


"Gabungan anak muda dan pemimpin berpengalaman adalah formula terbaik untuk kekalkan atau kembangkan pengaruh parti.

"PKR dan DAP memiliki sayap hampir di seluruh negara, jadi ini satu tapak yang jelas dan boleh diperluaskan, tetapi memerlukan strategi terutama dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang," tambahnya.

Awang Azman juga berpendapat ada kemungkinan Shafie sedang memposisikan dirinya dan Warisan bagi menandingi pengaruh PKR untuk menduduki Putrajaya.

"PKR sebuah parti berbilang kaum dan berteraskan mengukuhkan masyarakat majmuk, bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

"Ini menjadi ancaman kepada Shafie dan Warisan jika mereka mahu bertapak Semenanjung.

"Kerana itu, beliau cuba menjelmakan diri dan menyampaikan mesej perubahan, sedangkan kita tahu, tidak ada apa yang berubah dalam Warisan," katanya.

Terdahulu, Shafie ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan pada Sabtu, berkata barisan kepimpinan pembangkang di negara ini perlu berani membuat perubahan untuk terus maju, terutama dalam persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.