PUTRAJAYA: Kenyir Geopark di Terengganu diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan kesembilan di bawah Program Pembangunan Geopark, demikian umum Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Pengiktirafan itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1/2023 pada 30 Mei lepas (2023), menurut NRECC dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyir Geopark, dengan keluasan 2,449 kilometer yang meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu, dibentuk oleh pelbagai batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun lepas.

"Kenyir Geopark mengandungi 15 geotapak yang bertaraf antarabangsa, kebangsaan dan tempatan serta 10 biotapak, 11 tapak budaya dan satu tapak geoarkeologi," menurut NRECC.

Antara keistimewaan Kenyir Geopark ialah morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik, kewujudan pelbagai fosil marin serta penemuan seperti kerangka manusia prasejarah berusia 16,000 tahun, fosil tapak kaki dinosaur dan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu.

Lapan Geopark Kebangsaan yang telah diiktiraf ialah Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark (Kedah); Kinabalu Geopark (Sabah); Labuan Geopark (Wilayah Persekutuan Labuan): Sarawak Delta Geopark (Sarawak), Gombak-Hulu Langat Geopark (Lembah Klang) dan Stong Geopark di Kelantan.

-- BERNAMA