Kepakaran anak Malaysia dalam undang-undang laut jadi tarikan di Rusia

Zaim Ibrahim
Mac 7, 2018 08:48 MYT
Dr Mohd Hazmi merupakan pensyarah pertama dari Asia Tenggara yang dijemput sebagai Profesor Jemputan di School of Law di FEFE. - Astro AWANI
Seorang anak Malaysia menjadi pensyarah Asia Tenggara yang pertama dijemput sebagai Pensyarah Pelawat di School of Law, Far Eastern Federal Federal University (FEFU), di Vladivostok, Rusia.
Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, 36 tahun, dijemput disebabkan kepakaran beliau dalam undang-undang laut antarabangsa terutama di Selat Melaka dan Singapura.
Dalam satu temubual dengan Astro AWANI, Mohd Hazmi menjelaskan kepakarannya diperlukan bagi mengembangkan sistem undang-undang laut di Rusia.
"Bermula daripada kajian PhD saya mengenai alam sekitar marin dan navigasi antarabangsa di Selat Melaka dan Selat Singapura, pihak FEFU tertarik bagi mengembangkan perundangan antarabangsa dan penjagaan alam sekitar di Lautan Artik," kata beliau yang juga seorang pensyarah kanan undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Tambah beliau, pelbagai penerbitan kertas kajian berimpak tinggi mengenai undang-undang laut antarabangsa dan perlindungan alam sekitar menyebabkan beliau diterima sebagai pensyarah pelawat di FEFU.
"Saya akan gunakan kajian-kajian saya yang lepas untuk dikembangkan di Rusia. Bukan sahaja kajian mengenai perlindungan alam sekitar di laluan perkapalan artik, malah saya diberi peruntukan untuk menulis pelbagai kajian mengenai undang-undang laut," tambahnya lagi.
Menurut bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, kepercayaan yang diberikan oleh FEFU merupakan satu penghormatan kepada sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
"Rusia turut mengagumi negara kita kerana walaupun Malaysia bukan sebuah negara maritim yang besar tetapi kita berupaya mengawal aktiviti perkapalan dan melindungi alam sekitar di kawasan Selat Melaka.
"Tanpa kepakaran daripada Malaysia, ekonomi dunia akan terganggu kerana Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan yang tersibuk di dunia," ujar Mohd Hazmi yang telah dijemput sebagai pensyarah pelawat sebanyak empat kali berturut-turut di FEFU.
Mohd Hazmi berada di Rusia bermula 2 Mac hingga 9 Mac ini dan menyampaikan tiga syarahan termasuklah satu sesi motivasi kepada para pelajar di sana.
Beliau akan menyampaikan syarahan mengenai isu jerebu dan lautan yang berlaku di Asia Tenggara serta mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan Malaysia.
#cita-cita #Dr Hazmi Mohd Rusli #Far Eastern Federal Federal University #kejayaan #mahasiswa #Rusia #universiti #Universiti Sains islam Malaysia USIM #Vladivostok